Sign In
Mobirise Website Builder

TOPIK - TOPIK PERBINCANGAN

Topik I:  Belia Siaga Masa Depan

Tajuk: Cabaran negara dalam menghasilkan dan mendukung belia yang pintar-industri, seimbang dan siap siaga masa depan

Secara umumnya masa hadapan akan dipengaruhi oleh empat tren utama iaitu: globasisasi; perubahan iklim; perubahan demografik dan perkembangan teknologi. Setiap tren ini membawa cabaran dan peluang masing-masing yang akan memberikan impak kepada kehidupan dan jenis pekerjaan golongan belia. 'Revolusi Industri Ke-4', pertumbuhan bandar pintar (smart cities), dan ekonomi digital merupakan sebahagian daripada perkembangan terbesar yang harus kita tangani sekarang.

Ke arah ini, negara terus meningkatkan pelaburan kepada pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia agar dapat bersaing dan meraih peluang yang terbuka pada masa hadapan. Perubahan dalam pembelajaran, pertumbuhan pendidikan tertiari di negara ini; penekanan terhadap bidang sains dan teknologi serta usaha untuk membuat perubahan minda para belia adalah sebahagian daripada usaha-usaha yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan.

Forum ini akan membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara dalam merealisasikan matlamat Wawasan Negara 2035 dan juga perkembangan pesat global yang sudah setentutnya memerlukan golongan belia yang siap-siaga menghadapi tantangan. Di samping itu, forum ini juga akan membincangkan bagaimana negara dapat meningkatkan usaha untuk melahirkan belia-belia yang pintar industri (industry-smart) dan seimbang yang dapat memanfaatkan peluang yang dibawa oleh inovasi dan teknologi baharu. Dalam masa yang sama belia masih perlu dapat mengekalkan nilai-nilai teras kebruneian yang menjadi asas budaya kita.


Topik II: Penglibatan Belia

Tajuk: Kepentingan memperkasa golongan belia sebagai agen perubahan dalam masyarakat melalui penglibatan aktif mereka

Dari menyumbang sesuatu yang signifikan dalam ekonomi negara hingga mewujudkan impak dalam dalam kehidupan harian masyarakat, belia adalah teras kepada penyediaan peluang hari ini dan mencorak hari esok. Sememangnya, kepesatan pembangunan negara banyak bergantung pada penglibatan aktif mereka dalam hal ehwal ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik. Kunci kepada pemerkasaan ini adalah: dengan memberi peluang kepada belia untuk bersuara agar dapat memberikan impak yang bermanfaat terhadap penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan matlamat-matlamat negara dengan melibatsamakan mereka agar menjadi lebih proaktif, bertanggungjawab dan berdaya tahan.

Indeks Pembangunan Belia Komonwel memberikan gambaran yang penglibatan sivik dan politik belia kita adalah pada tahap yang rendah. Dengan memberikan mereka peluang untuk bersuara dan memperkasa penglibatan mereka, ianya akan dapat membawa kepada pembangunan yang lebih seimbang dan manfaat yang lebih besar kepada ekonomi dan sosial. Cabarannya sekarang ialah bagaimana kita dapat mendorong para belia untuk tampil ke hadapan dan menyumbang ke arah pembangunan negara, masyarakat serta mewujudkan mekanisme bagi para belia melibatkan diri dan menyuarakan pandangan mereka.

Forum ini membincangkan cabaran-cabaran semasa dalam memperkasa para belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam masyarakat dan menjelaskan  ejen perubahan yang positif dalam konteks negara.


Topik III: Keusahawanan

Tajuk: Keusahawanan: Peluang bagi Belia

Pada tahun 2018, Kerajaan telah mengumumkan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi menambah baik ekosistem keusahawanan  belia ke arah mengembangluaskan lagi penglibatan belia dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Beberapa inisiatif telah diungkayahkan bagi tujuan mewujudkan lebih banyak usahawan belia dan secara langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Antara lainnya ialah, inisiatif bagi memberikan peluang khususnya kepada pengusaha belia untuk memulakan perniagaan; Skim kemudahan-kemudahan kewangan; Projek i-Usahawan diwujudkan bagi  membolehkan pengusaha tempatan untuk mendapatkan kontrak dengan Syarikat-Syarikat Gabungan Minyak Shell Brunei dan  beberapa inisiatif bagi membukakan peluang perniagaan dalam sektor agri-perdagangan dan info-teknologi.

Ke arah ini, negara dapat melihat peningkatan dari kalangan belia yang aktif dalam bidang perniagaan dan perusahaan dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya. Banyak yang telah menceburkan diri dalam perniagaan pada umur yang masih muda dan cuba meraih peluang yang ada di negara ini dan serantau. Masih banyak cabaran yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha muda ini terutamanya dalam usaha mereka untuk menceburi bidang perusahan yang berdaya maju dan dapat menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Forum ini akan membincangkan dan mengupas isu-isu yang berkaitan dengan pengusaha belia dan peluang yang ada bagi melahirkan pengusaha muda yang mantap dan sebagai majikan. Di samping itu, forum ini juga akan dapat mendengar pandangan dan berkongsi pengalaman  daripada pengusaha muda yang telah berjaya. Seterusnya, forum ini juga akan cuba menerokai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh belia dalam merealisasikan aspirasi mereka untuk menjadi pengusaha berjaya.